Sunday, August 29, 2010

berdakwah satu kewajipan

Dakwah adalah satu wasilah atau kaedah yang Allah SubhanahuwaTaala tentukan dalam menyampaikan ajaranNya kepada umat manusia. Dakwah secara umumnya ialah menyeru, mengajak, memujuk, mentarbiyah, mendidik, melatih serta memimpin orang yang diseru supaya mengakui kebenaran risalah Allah subhanahuwataala yang dibawa oleh pesuruhNya iaitu Rasulullah Saw. Menurut pendapat Almarhum Abdul Aziz bin Bazz, bekas mufti kerajaan Arab Saudi, berdakwah hukumnya fardhu ain keatas setiap orang Islam. Ini bersesuaian dengan pengistiharan keimanan yang mengambil bentuk pengakuan untuk menjadi saksi atas ketuhanan Allah dan kerasulan Muhammad (SAW).

Di dalam Al-Quran, Surah Yusuf ayat 108 Allah berfirman :-
Katakanlah (Wahai Muhammad) “Ini dia jalan aku. Aku menyeru kepada Allah berdasarkan bukti-bukti yang nyata. Aku dan mereka-mereka yang mengikut aku…..”.

Berdasarkan ayat ini amatlah jelas bahawa Allah mentakrifkan “mereka-mereka yang mengikut Rasulullah” sebagai mereka-mereka yang mengikut jalan yang sama, iaitu jalan “menyeru kepada Allah berdasarkan bukti-bukti yang nyata”.

Dan di dalam ayat yang begitu ringkas dijelaskan juga matlamat disebalik usaha dakwah ini iaitu menyeru kepada Allah dalam arti kata kepada kepercayaan dan ketaatan kepadaNya. Kepercayaan dan keyakinan bahawa tiada yang berkuasa selain Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, yang tiada sekutu kepadaNya. Kepercayaan bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan syariatNya adalah Rahmat kepada manusia dan seluruh alam. Kepercayaan bahawa tiada yang layak diberi ketaatan, dipuja dan diberi pengabdian melainkan Allah.

Dan dakwah ini mampu manusia mengenal kebenarannya apabila didedahkan bukti-bukti yang nyata seperti yang terkandung di dalam Al-Quran. Bukti-bukti yang membawa manusia melihat kepada ayat-ayat Allah yang terdampar luas dan nyata di dalam alam ini sendiri. Di mana alam yang mengelilingi manusia adalah merupakan hujjah terkuat akan kewujudan pencipta yang Maha Bijaksana dan Maha Penyayang, ia itu Allah.

Ketaatan kepada Allah menuntut umat Islam mencorakkan hidup mereka berdasarkan petunjuk dari Allah dan contoh yang dipaparkan oleh RasulNya. Baginda s.a.w telah memberitahu umatnya bahawa Allah subhanahu wataala telah menggariskan segala bentuk amalan yang membawa kepada ketaatan dan pengabdian yang akan mendapat balasan syurga, demikian juga sebaliknya. Allah subhanahu wataala memberitahu manusia tentang amalan mungkar dan keji yang menyebabkan kepada kemurkaanNya.

Penyebaran ajaran Islam yang syumul dan sempurna telah berjaya dilakukan oleh Rasulullah s.a.w melalui usaha dakwah. Firman Allah subhanahu wataala:
“Pada hari ini orang kafir telah putus asa ( untuk memesongkan kamu ) daripada agama kamu. Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKU. Pada hari ini AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, AKU telah cukupkan nikmatKU kepada kamu dan AKU telah redha Islam itu menjadi agama kamu” (Al-Maidah 3)

Tugas melaksanakan dakwah adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim. Ianya menjadi sangat penting bagi tujuan memelihara kesucian dan kemuliaan ajaran Islam terus berkembang untuk seluruh umat. Allah Subhanahu waTaala telah menggariskan dengan jelas dalam Al-Quran tentang kaedah berdakwah supaya ia mudah dilakukan oleh setiap orang.

Firman Allah Subhanahu waTaala dalam surah An- Nahl ayat 125 :
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu DIAlah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalanNya dan DIAlah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah”

Dalam ayat tersebut perlu diperhatikan dan difahami dengan baik iaitu tiga strategi utama dalam melakukan tugasan berdakwah iaitu:

1. “Bil hikmah”. Ini memerlukan seseorang pendakwah memiliki kebijaksanaan dan berhikmah didalam menyampaikan dakwah. Seruan ini menghendaki supaya pendakwah mempunyai ilmu dari ajaran Islam yang kukuh. Kebijaksanaan adalah amat penting agar kewajipan menunaikan dakwah dapat dilaksanakan dan diterima dengan baik oleh kumpulan sasar dan terkesan dalam mengubah kehidupan seseorang kearah kebaikan untuk dirinya dan masyarakat.

Di antara hikmah dakwah adalah pesanan Rasulullah mengikut sebuah hadis:-
“Berbicara dengan manusia mengikut kemampuan akal mereka.” (Al-Hadith)

2. “Mauizatil hasanah”. Nasihat serta memberi pengajaran yang baik adalah merupakan ramuan penting kepada para pendakwah dalam menyampaikan risalah Allah Subhanahu wata’ala. Nasihat dan pengajaran yang baik, yang berkesan di jiwa dengan mendalam dan akal yang waras mampu membangkitkan kesedaran yang berkekalan dan dihayati pula dalam amalan kehidupan seharian. Mempelbagaikan kaedah memberi ’nasihat dan pengajaran’ melalui aktiviti seperti ziarah, khidmat kaunseling, memberi hadiah, khidmat masyarakat, bergotong-royong, amalan kebajikan melalui contoh keperibadian yang baik dan lain-lain adalah digalakkan. Kaedah memberi nasihat dan pengajaran boleh mengubah pemikiran dan kesedaran jiwa yang keras menjadi lembut, nafsu yang buas dapat dijinakkan dan hati yang degil akan patuh kepada perintah Allah Subhanahu wataala.

Firman Allah Subhanahu waTaala dalam surah طه ayat 43-44 :
“Pergilah kamu berdua ( Musa dan Harun ) kepada firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Berbicaralah kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut ( kepada Allah dan insaf )”

3. “Jaadilhum billati hiya ahsan” atau berbahas dengan cara yang terbaik. Para pendakwah hendaklah mampu juga menggunakan kaedah bermujadalah atau berbahas dengan cara yang terbaik. Dalam hal ini Islam mengiktiraf peranan akal manusia dalam mengenal kebenaran apabila ianya dibentangkan didepannya. Matlamat dakwah adalah untuk menyatakan kebenaran hakiki dan membuktikan kepalsuan fahaman yang bercanggah dengan Islam. Melalui perbahasan yang tenang dan baik, manusia boleh disedarkan akan kebenaran dan kepalsuan dan melalui itu beriman kepada Allah.

Sebahagian masyarakat manusia hari ini nyata telah hilang pedoman dan panduan dalam kehidupan mereka. Ajaran yang membawa kepada kebenaran diketepikan begitu sahaja. Bahkan usaha untuk membawa manusia ke jalan yang benar akan di tuduh dengan pelbagai tohmahan dan kecemuhan, semuanya terjadi kerana manusia terlalu mengagungkan dan mengutamakan nafsu dan kepentingan dunia bagi menyelesaikan masalah kehidupan. Berbagai gejala dan perbuatan mungkar yang nyata menjurus kepada kehidupan jahiliah dalam bentuk moden, pemikiran yang bertuhankan keberhalaan dan kebendaan, yang membawa kepada perilaku haiwan yang bertubuh manusia.

Suasana kegawatan dan keruntuhan akhlak umat manusia yang parah dan sukar dicari penawarnya melainkan dengan hanya kembali kepada mengamalkan ajaran Islam yang suci. Ajaran agama Islam pula perlu disebarkan dengan berdakwah. Tugas ini tentunya menghendaki setiap orang melibatkan diri dengan kerja dakwah mengikuti kapasiti serta kemampuan yang ada. Ianya perlu dilakukan secara berterusan dan istiqomah walaupun sedikit. Mulakan dan jadikan amalan berdakwah dalam keluarga, kemudian kepada masyarakat dalam qoriah, dalam organisasi tempat bekerja, melalui media elektronik dan media massa, laman web dan internet, agar ajaran Islam terus tersebar dan menjadi wahana untuk umat manusia menghayatinya.

Marilah sama-sama kita menjadikan tugas berdakwah sebagai tugas harian yang dilakukan untuk kebaikan kita bersama dan bagi membina ummah yang hidup berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.
Surah At-taubah ayat 71 :
“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana”

WaLlahu 'Alam

=) wahai karkun2 di seluruh alam.. marilah sambut takaza ummat.. pengorbanan kite sume diperlukn.. pergilah ke setiap ceruk dunie.. kte akn lihat manusia kehausan & ketandusan agama.. sape yg nk ajak diorang kalo bkn kte.. org sumer risau kalo jiran kte kne timpa musibah, e.g: kebakaran.. apakah musibah yg lebih dahsyat pabile manusia yg bergelar muslim meniggalkn agama, x mengamalkn agama, apath lagi nk menympaikn agama..x sah la risau @ hairan pasal non-muslim yg kutuk kte.. sbb nye semmgnye jelas yg kte sendiri yg menconteng arang diatas name islam yg suci.. sanggupkh kte melihat anak2 yg kte sayangi akn menigglkn agama & mengikuti arus dunia yg megasyikkn? bak kate 'nabil' ;" kte pikirlah same2".. moga Allah ampuni kte sume.. laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimiin.. ameen